KOTA KINABALU: Seramai 568 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina diusir ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 15, melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata, semua PATI berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Sandakan dan Tawau dihantar ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan pengangkutan laut.
Katanya, semua yang dipindahkan membabitkan seramai 392 lelaki, 143 wanita dan 33 kanak-kanak.
“Semua kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang adalah penghantaran bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing.
“Semua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sitti Saleha berkata, setakat 20 Julai 2023, seramai 4,730 tahanan dipindahkan ke negara asal membabitkan pengangkutan laut dan udara.
Katanya, semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.
“Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja dibenarkan untuk bekerja di Sabah.
“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.
SH Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.
“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi pengusiran ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI.
“Ia dijalankan selepas semua PATI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya.