KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa suara dan tuntutan berkaitan hak-hak kepentingan Sabah di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak berasaskan kepentingan negeri semata-mata tetapi demi kesejahteraan negara.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata tuntutan berkenaan adalah berlandaskan komitmen menjunjung Perlembagaan Persekutuan sekali gus percaya bahawa kemajuan dan kejayaan negeri Sabah mampu memberi makna besar kepada negara.
“… kita tidak sesekali ambil hak orang lain tetapi kita menuntut hak-hak kita dipelihara. Tidak timbul soal kesetiaan kepada negara. Hidup dan mati (rakyat negeri Sabah) adalah untuk Malaysia yang tercinta maka, kita amat hargai usaha Perdana Menteri dalam isu-isu tertangguh dalam MA63 ini.
Kita harapkan supaya usaha ini didukung oleh seluruh penggubal dan pelaksana dasar Kerajaan Persekutuan…GRS sekali lagi beri sepenuh komitmen kepada perjuangan Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya di sini hari ini.
Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN), Hajiji berkata GRS bersedia untuk memberikan komitmen sepenuhnya bagi membantu parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan di Semenanjung pada PRN yang dijangka akan berlangsung tidak lama lagi.
Beliau berkata komitmen dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkasa agenda perpaduan dan merealisasikan Perjanjian MA63 itu juga perlu didukung oleh seluruh penggubal dan pelaksana dasar Kerajaan Persekutuan.