Pembinaan CIQ, Jalan Raya Kalabakan-Kalimantan Perlu DiSegerakan – Andi

KALABAKAN: Kerajaan perlu menyegerakan pelaksanaan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Serudong, termasuk kemudahan jalan raya Kalabakan – Kalimantan, Indonesia.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy berkata, ini penting demi merancakkan pembangunan ekonomi di Kalabakan sekali gus merupakan agenda penting sebagai Ahli Parlimen di kawasan berkenaan.

“Saya beberapa kali menyuarakan perkara tersebut termasuk di Parlimen kerana kita mahu ia dilaksanakan segera agar pembangunan infrastruktur dan sebagainya dapat kita rasai dengan lebih cepat kerana seperti yang kita lihat sekarang ini banyak kekurangan di daerah ini.

“Jadi dengan pembinaan CIQ dan jalan raya penghubung tersebut saya rasa kita akan dapat merancakkan ekonomi di daerah ini.

“Saya akan bawa perkara ini lagi pada sesi Parlimen yang akan bermula bulan ini,” katanya di sini hari ini.

Andi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, kementerian Kerja Raya beberapa hari lalu turun ke Kalabakan untuk membuat tinjauan di kawasan yang dicadangkan dan ini baginya merupakan satu isyarat yang positif.

“Kita mahu selepas ini ia disusuli dengan tindakan agresif agar ia dapat direalisasikan mengikut perancangan yang ditetapkan,” katanya.