Kerajaan Perpaduan Perlu Belajar Dari Pengalaman BN – Shafie

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan diingatkan agar perlu belajar daripada pengalaman Barisan Nasional (BN) yang lalu.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, BN pernah menjadi satu parti dominan yang kuat memimpin negara sehingga disegani, namun sokongan kemudiannya merosot sehingga tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, ia penting bagi memastikan kerjasama yang dibentuk antara 19 parti dalam Kerajaan Perpaduan akan terus kekal.

“Kita kena belajar dengan pengalaman BN dulu, (menjadi parti) dominan bila kita merdeka. Alhamdulillah meletakkan negara kita sebagai ‘new tiger’.

“Ada kekuatannya waktu itu, MCA kuat, MIC kuat, Umno pun kuat. Tapi bagaimana perjalanan pemerintahan itu bukan hanya oleh kerana dominan sehingga menyaksikan MCA, MIC, Gerakan menjadi lemah, selepas itu Umno juga tumbang. Perlu perkongsian (pengalaman),” katanya di sini hari ini.

Konvensyen turut dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta dua Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.

Shafie berkata dalam kerjasama yang terjalin ketika ini tidak boleh wujud perasaan sangsi antara satu sama lain.

Malah katanya, setiap ahli parti gabungan perlu sentiasa membantu dan memberi teguran yang membina.