KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bercadang menetapkan syarat tahap kebersihan tandas premis makanan sebagai kriteria bagi pembaharuan lesen perniagaan.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, pemilik premis makanan perlu mendapat sekurang-kurangnya tiga bintang mengikut garis panduan ‘Star Rating Tandas Awam’ dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Katanya, DBKK juga bercadang menjadikan kawalan makhluk perosak (past control) secara berkala di premis makanan sebagai syarat tambahan bagi memperbaharui lesen perniagaan.
“Usaha ini bagi menangani masalah Lipas, Lalat , Tikus dan nyamuk di premis makanan sekitar bandaraya sekali memastikan ia bersih serta selamat untuk dikunjungi pelanggan.
“Saya bersetuju terhadap usaha ini serta menggesa agar semua pemilik makanan dapat mematuhi syarat demi menjadikan Kota Kinabalu sebagai sebuah kawasan tumpuan pelancong di masa depan,” katanya.
Abidin berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Tandas Sedunia peringkat bandaraya Kota Kinabalu, hari ini.
Hadir sama Mayor DBKK, Datuk Noorliza Awang Alip.
Menurutnya, mengikut statistik jumlah kehadiran pelancong ke Sabah adalah 1.7 juta dengan 40 peratus daripada mereka akan berkunjung ke Bandaraya Kota Kinabalu.
“Pelancong ini akan singgah menikmati makanan di restoran di sekitar ibu negeri. Jika keadaan tandas di premis makanan mereka kotor sudah tentu mencemarkan imej negeri Sabah.
“Selari dengan matlamat dan Visi DBKK iaitu Kota Kinabalu Sejahtera serta inisiatif “Love KK” kebersihan bandaraya adalah tumpuan semua pihak,” jelas Abidin.