ESSCOM tahan 64 PATI, kesan pelbagai kesalahan bernilai RM623,450

LAHAD DATU: Seramai 64 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Lahad Datu yang dilaksanakan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan turut mengesan pelbagai kesalahan membabitkan sektor imigresen, pekerjaan, trafik, utiliti, pelesenan perniagaan dan perkastaman.

Menurut beliau, nilai keseluruhan penguatkuasaan, kompaun dan rampasan yang direkodkan dianggarkan RM623,450.

Katanya, operasi yang melibatkan 262 pegawai dan anggota pelbagai agensi itu dijalankan bagi memastikan pematuhan undang-undang selain membanteras kehadiran PATI di ESS Zone.

“ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi bersepadu selaras dengan slogan ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’,” katanya.