SEMPORNA: Pembinaan fasa pertama pembinaan 202 unit chalet ‘Borneo Semporna Resort’ mampu menampung peningkatan permintaan penginapan pelancong di bandar Semporna.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, pembinaan Resort bertaraf lima bintang ini membuktikan sektor pelancongan di Sabah terus pulih sekali gus semakin memberangsangkan.
Katanya, fasa pertama projek ini berkonsepkan chalet di atas tanah laut ataupun ‘sea land’ seluas 16.7 hektar (41.44 ekar).
“Pembinaan ini mampu menampung serta runggutan pelancong berkaitan masalah penginapan di Semporna, selain meyakinkan kepada pelabur luar terhadap sektor pelancongan yang semakin rancak di Sabah.
“Kita yakin projek ini mampu memberi nilai tambah lebih baik kepada masyarakat selain mampu meningkat ekonomi masyarakat sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Borneo Semporna Resort, di sini semalam.
Christina berkata, pembinaan resort ini adalah selari dengan hasrat kerajaan negeri seperti yang termaktub di dalam program dan hala tuju Sabah Maju Jaya.
“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri untuk melihat hasil serta perkembangan positif dan mampan daripada pembangunan projek ini,” jelas Christina.