TAWAU: Lebih 200 penduduk Kampung Luasong Tawau terpaksa bergelap dalam suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri berikutan tanpa bekalan elektrik.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, masalah itu dialami sejak bulan lalu dikenalpasti berpunca daripada kerosakan generator berkuasa diesel yang disediakan pihak Yayasan Sabah.
Katanya, pihak terbabit perlu mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah bekalan elektrik untuk membolehkan masyarakat mendapat bekalan yang sempurna.
“Generator ini merupakan satu-satunya yang membekalkan elektrik ke kampung ini sementara menantikan penyiapan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Luasong yang kini turut mengalami kelewatan.
“Penduduk kampung yang temui mengadu mengenai permasalahan ini (ketiadaan bekalan elektrik) yang berlaku sejak bulan puasa (Ramadan) bermula lagi. Saya berharap tindakan segera diambil oleh pihak berwajib bagi menangani permasalahan ini.
“Kita difahamkan ini bukan kali pertama masalah ini berlaku kerana dalam tahun ini sudah beberapa kali penduduk kampung mengalami masalah ketiadaan bekalan elektrik disebabkan kerosakan generator utama tersebut,” katanya.
Andi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berharap agar penyiapan projek BELB Luasong dapat dipercepatkan agar penduduk tidak lagi perlu bergantung kepada penggunaan generator yang seringkali rosak itu.
“Ketika ini projek BELB Luasong setakat ini baharu siap 73 peratus, berbanding 94 peratus yang sepatutnya seperti mengikut dalam jadual yang ditetapkan,” katanya.
Antara faktor kelewatan projek tersebut disebabkan bekalan kabel tidak dapat diperoleh mengikut masa diperuntukkan, kelewatan FAT (factory acceptance test) untuk peralatan LBS dan AR dan pihak subkontraktor tidak dapat membekalkan tenaga pekerja/pasukan yang diminta.
“Saya berharap masalah yang dihadapi ini dapat ditangani secepat mungkin agar projek BELB ini dapat disiapkan mengikut jadual demi kesejahteraan penduduk yang amat memerlukan kemudahan ini,” katanya.