Sabah tingkat hubungan dua hala dengan Negara Brunei Darussalam – Hajiji

BANDAR SERI BEGAWAN: Seramai 78,605 rakyat Negara Brunei Darussalam melawat Sabah pada 2019 namun jumlah itu menjunam kepada 5,494 pada 2020 berikutan penutupan sempadan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah turut mengalu-alukan kemasukan semula pelawat dari Brunei, memandangkan pembukaan semula sempadan dengan penerbangan pertama Syarikat Penerbangan Diraja Brunei ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pada 6 Mei tahun ini.

Katanya, susulan pembukaan semula sempadan, Sabah menjangkakan jumlah rakyat Brunei melawat negeri ini akan meningkat melalui jalan darat bermula 1 Ogos tahun ini.

“Sabah mengharapkan hubungan dua hala dengan Negara Brunei Darussalam terus dipertingkatkan setelah sempadan kedua-dua negara dibuka semula.

“Sabah sentiasa mementingkan hubungan dengan Brunei sekali gus bersama-sama memacu kecemerlangan disamping mengekalkab hubungan baik kedua-dua negara,” katanya.

Hajiji berkata demikian semasa menghadap Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di sini hari ini.

Hajiji turut menyampaikan jemputan kepada Sultan untuk lawatan timbal balas ke Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau optimis kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya perdagangan berkembang melihat perdagangan Sabah dengan Brunei meningkat lebih empat kali ganda daripada RM311.7 juta pada 2017 kepada RM1.48 bilion pada Ogos 2022.

Hajiji turut berkongsi dengan Sultan Hassanal Bolkiah pencapaian pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN).

“Sejak kerajaan GRS-BN mengambil alih tampuk pentadbiran dua tahun lalu, Sabah telah mencatatkan RM5.449 bilion kutipan hasil negeri pada 2021.

“Sabah juga mencapai RM389 juta dalam pelaburan domestik dari Januari hingga Jun 2022 dan RM9.9 bilion dalam Pelaburan Langsung Asing ( FDI) dari Januari hingga September tahun ini,” katanya.