PENAMPANG: Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyokong syor agar Huguan Siou Tan Sri Pairin Kitingan dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Katanya, Pairin mempunyai kredibiliti cemerlang untuk dilantik sebagai TYT Sabah.
“Beliau (Pairin) menubuhkan parti berbilang kaum dan menjadi Ketua Menteri Sabah di bawah parti berbilang kaum tersebut.
“TYT adalah simbol kesatuan dan perpaduan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama. Pairin mempunyai kredibiliti untuk dilantik sebagai TYT Sabah yang seterusnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ewon mengulas mengenai cadangan yang dibuat oleh Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) agar Pairin dilantik sebagai TYT Sabah.
Ewon merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian bakal mengambil alih teraju kepimpinan UPKO sebagai Presiden yang baharu pada kongres parti itu pada bulan hadapan turut menyatakan bahawa Perlembagaan Negeri Sabah tidak mempunyai halangan agar Pairin dilantik sebagai TYT.
“Perlembagaan Negeri Sabah tidak mempunyai halangan bagi seseorang seperti Tan Sri Pairin dilantik menjadi TYT.
“Maka saya amat menyokong sepenuhnya jika Kerajaan Sabah hari ini mengangkat nama Pairin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai TYT Sabah yang baharu,” katanya.
KDCA mencadangkan nama Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebagai pengganti kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan penggal dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung KDCA, Suman Yasambun berkata, Pairin, 82 yang merupakan bekas Ketua Menteri Sabah merupakan pemimpin tempatan yang mampu mewakili Sabah sebagai Yang Dipertua Negeri.