Siasatan buku Tommy Thomas wajar didedah kepada umum – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas ditubuhkan kerajaan perlu melaporkan hasil siasatan ke atas buku memoir ‘Tan Sri Tommy Thomas’ wajar didedahkan kepada umum.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, jangan dipendamkan terlalu lama kerana dibimbangi kontroversi `dimanakah kertas siasatan kes Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali’ boleh berulang.

Katany, laporan itu mustahak didedahkan kepada umum kerana rakyat Malaysia perlu mengetahui perihal sebenar membabitkan bekas Peguam Negara `lantikan politik’ tersebut.

“Laporan oleh Pasukan Petugas Khas itu juga penting kerana ia berpotensi mendedahkan tentang isu pendakwaan terpilih yang berlaku semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Juga mendedahkan tentang kemungkinan berlaku campur tangan urusan kehakiman oleh seorang bekas Perdana Menteri untuk kepentingan politiknya,” katanya dalam Facebook rasminya hari ini.

Zahid berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Ogos tahun lalu meminta supaya kerajaan segera menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan buku Tommy.

“RCI itu amat penting kepada negara kerana ia mengundang tanda tanya mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

“Bagaimanapun kita berharap dakwaan bahawa Peguam Negara kerajaan sekarang mengesyorkan laporan akhir siasatan itu tidak didedahkan kepada umum sekadar desas-desus,” katanya.

Dalam tempoh sama beliau berharap Kabinet yang akan dibentangkan hasil siasatan tersebut dalam tempoh terdekat tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk menutup fakta tertentu.

“Kebimbangan ini timbul kerana kita memahami sebahagian anggota Kabinet kerajaan campuran sedia ada adalah bekas anggota Kabinet kerajaan PH.

“Anggota Kabinet terbabit pernah 22 bulan bekerjasama dan `bermuafakat’ bersama Tommy, maka dikhuatiri mungkin ada perkara yang bagi mereka wajib diselindungi,” katanya.