PETALING JAYA: Cadangan Umno supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan dengan segera bukan bermakna parti itu mahu pilihan raya musim banjir.
Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana iklim dunia sudah berubah dan sesiapa pun tidak mengetahui sama ada banjir akan berlaku waktu itu atau sebaliknya.
“Kalau ikut tahun lalu, banjir berlaku antara Januari hingga Mac. Cuaca sudah berubah, iklim dunia sudah berubah.
“Macam mana pembangkang boleh tahu berlaku banjir waktu itu? Dia ada ilmu kasyaf ke?,” katanya dalam laporan Sinar Harian hari ini.
Mohamad berkata, sekiranya berlaku banjir, bencana ini tidak berlaku secara menyeluruh di seluruh negara.
“Misalnya di Kelantan, di kawasan yang terlibat banjir itu kita boleh tangguhkan pengundian, selagi ia masih dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan,” katanya.
Mohamad yang juga ADUN Rantau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk menangguhkan proses pengundian di kawasan terjejas banjir.
Menurutnya, peti undi di kawasan itu boleh dikunci dan apabila keadaan banjir sudah reda, hari pengundian boleh dilakukan.
“Banyak orang kata kalau banjir macam mana? Ia tiada masalah kerana SPR ada kuasa. Tapi tiada siapa pun nak buat pilihan raya waktu banjir. Pembangkang saja putar belit kata BN nak buat waktu banjir.
“Kita pun manusia juga. Kalau banjir, kita yang turun dulu. Jangan ingat kita tiada sifat prihatin,” katanya.