Sabah akan terokai Ekonomi Biru bersama pelabur asing

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan menerokai Ekonomi Biru dengan kerjasama pelabur-pelabur asing yang pakar dalam bidang itu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Perasmian Program SMJ-EKOB 2023 Khazanah Baharu Melalui Konsep Ekonomi Biru Di Negeri Sabah “Beyond Limits, Unleashing Economy” di sini, hari ini.

Menurutnya Ekonomi Biru sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebagai salah satu pendekatan untuk merancakkan ekonomi negara.

Katanya, selaras dengan Belanjawan 2024, Kerajaan Negeri berhasrat meneroka Ekonomi Biru yang bertujuan untuk pembangunan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Beliau berkata, Ekonomi Biru menjanjikan potensi yang besar dalam pelbagai bidang, antaranya bagi negeri Sabah ialah Perikanan dan Akuakultur, Perkapalan dan Pengangkutan (Logistik), Pelancongan, Tenaga Boleh Diperbaharui, Sumber-sumber Mineral, Bioteknologi dan Farmaseutikal, Karbon Biru, Pengurusan Sisa dan Kawalan Pencemaran, Kajian dan Pembangunan serta Infrastruktur Marin.

“Semasa mengetuai delegasi ke Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) di China pada November lalu, saya telah menjemput pelabur untuk meneroka konsep Ekonomi Biru dengan Kerajaan Sabah bagi membangunkan sektor pemprosesan makanan, kerana Sabah mempunyai pantai terpanjang di Malaysia, dengan lebih 1,000 kilometer berpotensi besar untuk penternakan ikan dan hasil laut lain,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Perasmian Program SMJ-EKOB 2023 Khazanah Baharu Melalui Konsep Ekonomi Biru Di Negeri Sabah “Beyond Limits, Unleashing Economy” di sini, hari ini.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong.

Katanya, beliau turut meminta pelabur untuk mempertimbangkan sektor tenaga, merangkumi sumber bahan api fosil dan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin.
Justeru itu, beliau berharap semua pihak yang berkaitan dalam konsep Ekonomi Biru akan bekerja keras untuk menarik lebih ramai pelabur luar termasuk dari China untuk melabur dalam konsep itu.

“Kita harus sedar bahawa jika pada masa lalu ia hanyalah sebuah konsep dalam ekonomi, kini sudah menjadi satu kemestian untuk diterokai. Lebih-lebih lagi, kedudukan geografi negeri Sabah amatl strategik, dikelilingi lautan seluas 37,300 kilometer persegi, dengan pelantar benua berkeluasan 116,800 kilometer persegi, dan garis pantai sepanjang 2,383 kilometer.

“Dengan khazanah dan kekayaan biodiversiti marin yang dimiliki negeri Sabah, potensinya amat besar. Justeru, kerajaan komited dan mengambil serius pembangunan Ekonomi Biru kerana memahami betapa besar implikasinya kepada rakyat, alam sekitar dan masa depan bersama,” tegasnya.

Hajiji berkata, Konsep Ekonomi Biru diperkenalkan pada tahun 2012 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang merujuk kepada pemanfaatan secara lestari sumber-sumber laut untuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup, dan penciptaan pekerjaan, sambil menjaga kelestarian ekosistem marin.

Katanya di persidangan ASEAN di Brunei Darussalam pada tahun 2021, para delegasi termasuk Malaysia telah bersetuju untuk mengadaptasikan ekonomi biru di rantau ASEAN.

Beliau berkata, Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0: 2021-2025) yang dilancarkan pada 29 Mac 2021, menggariskan strategi pembangunan negeri dengan memanfaatkan semua sumber yang terdapat di negeri Sabah secara optimum.

Menurutnya, sifat Pelan SMJ sudah seawalnya menyediakan ruang untuk meneroka kaedah atau sumber baharu bagi meningkatkan pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pada masa yang sama memelihara ekosistem alam sekitar.

“Perkara ini terkandung dalam teras utama Pelan SMJ di bawah elemen J: Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, yang pada prinsipnya menyokong agenda pembangunan Ekonomi Biru di negeri Sabah,” tambahnya.

Menyentuh Program SMJ-EKOB 2023, Hajiji berkata ia adalah platform untuk mewujudkan kerangka ekonomi yang akan menentukan hala tuju Ekonomi Biru bagi negeri Sabah