Penduduk lima kampung di Tongod akan nikmati kemudahan infrastruktur, capaian internet dengan pembukaan Kilang Simen

TONGOD: Lebih 5,000 penduduk lima buah kampung di sini bakal menikmati kemudahan jalan raya, bekalan air, elektrik dan capaian internet sebaik sahaja syarikat utama pelaburan projek klinker bersapadu memulakan operasinya sebelum pertengahan tahun depan.

Masiung memalu gong sebagai tanda perasmian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata empat projek infrastruktur itu menelan belanja RM350 juta sebagai langkah awal pembangunan kilang simen berkenaan.

“Antara kampung terlibat dengan jajaran projek itu ialah Kampung Susui, Kawayoi, Langga, Tudungin dan Inarad sekaligus mengakhiri penantian penduduk sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Daerah di sini semalam. Terdahulu beliau merasmikan majlis Sambutan Krismas di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.

Beliau berkata , sebuah syarikat tempatan Borneo Cement (Sabah) Sdn. Bhd (BCS) telahpun menandatangani perjanjian usahasama dengan Perbadanan Ekonomi Sabah (SEDCO).

Sebelum itu, SEDCO turut menandatangani memorandum persefahaman menggunakan kepakaran syarikat mega daripada negara China iaitu China Engineering Industry.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah 26 November lepas, DUN diberitahu Sabah menerima pelaburan bernilai RM2 bilion untuk membina kilang klinker bersapadu di Tongod.

Masiung yang dilantik Pengerusi BCS menjelaskan, fokus utama syarikat itu kini lebih terarah kepada penyediakan kemudahan infrastruktur terlebih dahulu sebelum mendirikan kilang.

“Kewujudan infrastruktur itu bakal memberi limpahan ekonomi secara berperingkat kepada penduduk. Langkah ini selari dengan misi ‘Sabah Maju Jaya’ untuk menurunkan kadar kemiskinan di daerah Tongod,” katanya.

Beliau berkata, pelan cadangan projek-projek itu telahpun tersedia dan akan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kelulusan.

“Keempat-empat projek itu akan dibina serentak termasuk membina jalan raya berturap sejauh 26km selain membina loji bekalan air terawatt,” katanya.

Masiung berkata, syarikat itu juga akan membina talian elektrik 40Megawatt (MW) yang disambung dari jana kuasa di Nabawan sejauh 39 kilometer.

Sementara itu, menara telekomanikasi serta jaringan internet menggunakan kabel fibre optik turut dibina serentak di penempatan kilang meliputi kampung berdeketan sejauh 60 kilometer.

“Keempat-empat kemudahan asas itu dibina secara ‘Design and Build’ selepas memperolehi kebenaran bertulus dari Jabatan Pembangunan Alam Sekitar,” tambah beliau.

Masiung berkata, apabila kilang itu beroperasi sepenuhnya ia akan mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan dan peluang perniagaan kepada warga tempatan.