Polis Tawau berkas lelaki curi motosikal kurang 24 jam

TAWAU : Polis menahan seorang lelaki disyaki suspek kes curi sebuah motosikal di kawasan Jalan Merotai-Kalabakan, petang kelmarin.

Suspek berumur dalam lingkungan 23 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri itu ditahan kurang 24 jam setelah pemilik motosikal membuat laporan polis mengenai kehilangan motosikalnya di hadapan bangunan Maybank Tawau pada jam 10 pagi, pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai ketika menjalankan ronda cegah jenayah (RCJ) di kawasan Jalan Merotai-Kalabakan kira-kira jam 2.40 petang.

Katanya, sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) telah terlihat seorang lelaki menunggang motorsikal dalam keadaaan mencurigakan yang sama seperti hebahan motorsikal hilang yang diterima daripada Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

“Anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) tersebut bertindak mengekori suspek sehingga ke kawasan Felda Umas, Kalabakan dan telah menghubungi anggota Polis Bantuan Felda Umas Kalabakan untuk bantuan mengesan suspek dikawasan berkenaan.

“Bertindak atas maklumat dari pasukan sahabat Polis Bantuan Felda Umas, pihak Polis berjaya mengesan suspek di kawasan perumahan kakitangan Kilang Sawit Umas, Kalabakan,” katanya.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap setelah berlaku pergelutan.

Jelasnya, suspek ditahan serta barang kes dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan kes disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Jasmin berkata, Polis Tawau giat aktif dalam menjalankan operasi yang berkonsepkan agresif policing dalam usaha menangani kes jenayah dan dadah di daerah ini.