BELURAN : Sesi libat urus diantara kerajaan negeri Sabah bersama pembekal utama bitumen bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo telah dilaksanakan bagi memastikan bekalan bahan itu tidak terganggu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sesi libat urus tersebut diadakan melibatkan pembekal utama iaitu Petronas dan Shell.
“Fasa pelaksanaan lebuhraya ini sekarang boleh dikatakan mengikut masa yang dijangkakan. Tetapi mungkin nanti ada kelewatan kerana saya risau mendapati ada masalah bitumen.
“Sebab itu pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah dan kami telah buat libat urus bersama pembekal utama iaitu Petronas dan Shell supaya bekalan bitumen nanti tidak terganggu,” katanya kepada media di Tapak Pakej Kerja 29 (Moynod – Sapi Nangoh), Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, hari ini.
Terdahulu, beliau menberikan taklimat fasa pembinaan jalan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dalam program Kembara Kenali Borneo.
Pakej Kerja 29 yang sedang berlangsung itu melibatkan pembinaan sepanjang 20 kilometer dengan kos RM300 juta.
Menurut beliau, daripada keseluruhan 35 pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri ini, 15 fasa terawal yang mana tiga pakej telah siap dan selebihnya masih dalam pelaksanaan.
Jelasnya, pembinaan semasa ketika ini berjalan lancar walaupun ada cabaran dan kekangan dari segi pengalihan utiliti dan sebagainya.
Nanta menegaskan kementerian akan memastikan semua Surat Setuju Terima (SST) akan dikeluarkan kepada kontraktor-kontraktor yang terpilih sebelum hujung tahun ini agar pelaksanaan baki pakej boleh bermula awal tahun depan.
Ends.