Kenaikan harga beras import bebankan rakyat Sabah

SANDAKAN: Kenaikan harga beras import sebanyak 40 peratus telah membebankan rakyat di negeri ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong berkata kenaikan harga terkini berkenaan beras putih import yang berharga daripada RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik seperti yang diumumkan Padiberas Nasional Bhd (BERNAS). 

Katanya harga baharu yang berkuat kuasa pada 1 September itu menyaksikan kenaikan RM8.50 satu tan metrik atau RM0.85 sekilogram.

“Beras merupakan sumber makanan utama untuk sesebuah keluarga. Dengan kadar kos sara tinggi di negara kita yang kian meningkat sudah pasti pengguna akan merasa kenaikan harga tersebut akan menambahkan lagi beban pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Calvin mengakui bahawa impak daripada kenyataan BERNAS mula dirasai seluruh rakyat khususnya penduduk Sandakan ekoran kenaikan harga itu akan dikuatkuasa di pasar raya mulai 1 September ini.

Menurut Calvin kerajaan perlu mengambil langkah intervensi bagi meningkatkan bekalan beras putih tempatan di pasaran dengan meminta pengilang padi zon utara meningkatkan pengeluaran sebanyak 20 peratus agar rakyat dapat bertahan dalam kesempitan ekonomi yang dihadapi kini. 

Di Kota Kinabalu, Ketua Penerangan Bahagian Warisan Kota Kinabalu, Samuel Wong berkata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin, memberi jaminan kepada orang ramai di Facebook baru-baru ini bahawa tidak akan ada kenaikan harga bagi beras tempatan dan bekalan mencukupi.

“Tetapi nampaknya realiti di lapangan menggambarkan gambaran yang berbeza. Adakah Chan Foong Hin sedar akan situasi ini, atau adakah dia terlalu tidak menyedari sementara rakyat menanggung beban harga beras yang melambung tinggi?”

“Kerajaan sebelum ini telah menjamin bahawa harga beras tempatan akan kekal stabil. Namun, dengan harga beras tempatan meningkat lebih daripada 50 peratus di kedai-kedai, jaminan ini kelihatan kosong,” katanya sambil menambah ramai penduduk Sabah kini menghadapi kesulitan untuk membeli beras, yang merupakan makanan asas.