PRN Selangor: Isu peluang pekerjaan kalangan anak muda di Selangor tumpuan Calon BN – Sufian

SABAK BERNAM: Isu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam kalangan anak menjadi topik serta isu disuarakan dalam kalangan muda dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abdul Karim berkata, faktor peningkatan jumlah anak muda menamatkan pengajian di peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta antara isu ini dibangkitkan dalam siri kempen di PRN Selangor.

Katanya, isu ini disampaikan kepada Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang Datuk Mohd Imran Tamrin bagi memastikan ia dapat diatasi kelak.

“Calon BN Sungai Panjang ini merupakan Ketua Pemuda UMNO Selangor serta penyandang kerusi DUN Sungai Panjang…Sudah tentu isu ini akan menjadi tumpuan utamanya nanti.

“Meletakkan fokus kepada anak muda, beliau calon BN Sungai Panjang ingin mengubah persepsi golongan berkenaan yang menganggap politik ini tidak bersih atau sebaliknya,” katanya di sini hari ini.

Mengulas mengenai kerjasama berkempen bersama jentera Pakatan Harapan (PH) Sufian berkata, pada mulanya memang agak kekok apabila bergandingan berkempen bagi memenangkan calon BN.

“Selepas lebih lapan hari berkempen nampak wujud keserasian antara Pemuda BN dan PH. Ada sesuatu yang boleh dipelajari dalam kerjasama ini untuk kita pratikkan menjelang PRN Sabah akan datang.

“Menjelang baki tempoh kempen ini kedua-dua jentera kempen akan berganding bahu bagi memastikan kejayaan BN di DUN Sungai Panjang ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohd. Imran memenangi kerusi DUN Sungai Panjang selepas memperoleh 10,530 undi, menewaskan calon PH Mariam Abdul Rashid (8,446 undi) dan calon PAS Mohd. Razali Saari (6,999 undi).

Pada PRN kali ini DUN Sungai Panjang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Mohd Imran dan Perikatan Nasional (PN) Mohd Razali Saari.

DUN Sungai Panjang mempunyai seramai 40,786 jumlah pengundi.