Persidangan DUN Sabah: RM833 juta Belanjawan Tambahan 2023 Sabah diluluskan

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2023 atau Belanjawan Tambahan bagi 2023 sebanyak RM833,019,462.

RUU itu diluluskan sebulat suara di hadapan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya selepas dibahaskan seramai 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Terdahulu, ketika membentangkan RUU berkenaan, Menteri Kewangan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata peruntukan tambahan itu adalah untuk beberapa perbelanjaan utama Kerajaan Negeri.

Jelasnya, semua anggaran tambahan itu adalah mustahak bagi melicinkan operasi pentadbiran Kerajaan Negeri, khususnya bagi tempoh suku keempat 2023 dengan tumpuan utama terhadap usaha menyelesaikan isu bekalan air.

“Masalah bekalan air yang sedang dialami hampir di seluruh negeri semakin kritikal dan memerlukan jalan penyelesaian dengan segera.

“Justeru itu, anggaran perbekalan tambahan ini akan menumpukan kepada perbelanjaan operasi terutamanya untuk menangani isu air.

“Sejumlah RM139.09 juta atau 16.69 peratus diperuntukkan bagi tujuan itu dan selebihnya berjumlah RM138.54 juta atau 16.63 peratus untuk lain-lain perbelanjaan operasi,” katanya.

Perbelanjaan lain yang dibiayai menerusi peruntukan tambahan itu, katanya ialah Program Tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri sebanyak RM46 juta, penyelenggaraan saliran utama bandar dan pekan (RM19.78 juta) dan perkhidmatan pengangkutan logistik (RM16 juta).

Turut dibiayai ialah pembelian kenderaan dan jentera di pelbagai kementerian dan jabatan (RM10 juta), penyelenggaraan landasan keretapi (RM3.89 juta), penyelenggaraan sistem pembetungan (RM1.6 juta) dan selebihnya untuk perbelanjaan operasi kementerian serta jabatan lain (RM41.27 juta).

Katanya, bagi pecahan agihan peruntukan tambahan mengikut kementerian dan jabatan, menyaksikan Kementerian Kewangan negeri menerima peruntukan sebanyak RM175 juta atau 21.01 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Beliau berkata, jumlah itu sebagai tambahan kepada Kumpulan Wang Berkanun bagi mengurangkan defisit pembangunan serta caruman kepada Kumpulan Wang Amanah dan lain-lain keperluan berjumlah RM380.37 juta untuk membiayai belanja pentadbiran, bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK), elaun perjalanan dan sara hidup, bayaran Gantian Cuti Rehat (GCR), perbelanjaan utiliti dan sewa sehingga hujung tahun ini.

Sementara itu, Anggaran Perbekalan Tambahan 2023 terbahagi kepada dua, iaitu yang tidak membabitkan aliran wang tunai sebanyak RM401,307,789 (48 peratus) yang diperlukan bagi pelarasan akaun dan mematuhi peraturan perakaunan, manakala sebanyak RM431,711,673 (52 peratus) membabitkan aliran wang tunai.

“Peruntukan tambahan terbesar yang membabitkan aliran wang tunai sebanyak RM272.88 juta disyorkan untuk menampung perbelanjaan di bawah Perkhidmatan Am Perbendaharaan meliputi pelbagai keperluan.

“Perkara terbabit ialah Peruntukan Khas sebanyak RM111.71 juta; sebanyak RM63 juta untuk Pelaburan Ekuiti, Pinjaman dan Pertukaran Kepada Geran untuk Badan Berkanun Negeri (RM50.17 juta) untuk membiayai perbelanjaan pentadbiran, bayaran Pemeriksaan Perubatan dan Insurans serta GCR.

“Sebanyak RM24.71 juta lagi untuk menaik taraf Stadium Likas dan RM23.29 juta untuk menampung keperluan lain seperti perkhidmatan pengangkutan dan logistik, bayaran pemeriksaan perubatan dan penyewaan kenderaan swasta,” katanya.

-ends