KOTA KINABALU: Sabah mengutip RM6.22 bilion Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas minyak sawit mentah bagi tempoh lima tahun sejak 2018.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata ia adalah antara sumber hasil utama kewangan Sabah dengan sumbangan 22 peratus ke pada tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM845.36 juta direkodkan pada 2018, diikuti RM789.58 juta (2019), RM919.15 juta (2020), RM1.35 bilion (2021) dan RM1.56 bilion pada tahun lalu.
Beliau berkata bagi tahun ini, iaitu sehingga Julai lalu, sebanyak RM739.53 juta CJN ke atas minyak sawit mentah berjaya dikutip.
“Bagaimanapun, prestasi pungutan cukai ini amat bergantung kepada perubahan persekitaran ekonomi dan pasaran global.
“Penentuan harga dan pengeluaran minyak sawit mentah juga adalah di luar kawalan Kerajaan Negeri. Oleh itu, dapat dilihat perubahan ke atas prestasi pungutan cukai ini setiap tahun,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau menjawab soalan Justin Wong Yung Bin (WARISAN – Sri Tanjong) berhubung prestasi kutipan CJN minyak sawit mentah di Sabah.
Berhubung peruntukan bagi membaiki jalan di kawasan ladang kelapa sawit (estate), Julita berkata terdapat dua jenis jalan yang diselenggara Kerajaan Negeri dan berdaftar dalam Sistem MARRIS di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu jalan berturap dan tidak berturap.
Katanya, bagi tempoh 2018 sehingga 2023, sebanyak RM5.95 juta diperuntukkan bagi bagi menyelenggara sepanjang 105.66 km jalan berturap dan RM87.74 juta bagi jalan tidak berturap sepanjang 518.45 km.
Tambahnya, jalan terbabit ialah di daerah Beaufort, Keningau, Kinabatangan, Kudat, Kunak, Lahad Datu, Semporna, Sandakan, Tawau dan Telupid.
“Ingin dijelaskan juga bahawa terdapat jalan di kawasan ladang kelapa sawit yang dibina sendiri oleh pemilik estet berkenaan.
“Oleh itu, ia adalah di bawah tanggungjawab pemilik tanah untuk menyelenggara jalan berkenaan bagi memberikan keselesaan serta menjamin keselamatan semua pengguna yang mana kos penyelenggaran ditanggung oleh pemilik estet sendiri,” kata Julita.