DENGKIL: Realiti bahawa Selangor maju dibawa Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) dan disusuli Pakatan Harapan (PH) tidak dapat dinafikan oleh parti pembangkang pada Pilihn Raya Negeri (PRN) ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata kenyataan ini ditakuti pembangkang pada PRN ini..sebab itu Perikatan Nasional (PN) menggunakan pelbagai cara lain untuk meraih sokongan pengundi di Selangor ini termasuk menggunakan istilah kafir dan menawarkan manifesto yang guna semula.
“Realiti ini ditakuti pembangkang di Selangor dalam usaha mereka menawan negeri ini yang bagi mereka penting sebagai platform menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Apapun, saya ingin kongsi beberapa tinjauan awal yang dilakukan beberapa badan kerajaan dan swasta menunjukkan setakat hari ini kita sudah ada majoriti mudah untuk kembali menerajui Kerajaan Negeri Selangor,” katanya pada Ceramah Kita Selangor di Command Cetre BN di Dataran Sadiman Bukit Changgang dekat sini, malam tadi.
Hadir sama calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil Norrazli Said dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Amirudin, Ahli Parlimen Gombak yang mempertahankan DUN Sungai Tua pada PRN ini berkata Kerajaan Perpaduan datang dengan satu garisan ikhlas untuk bergabung dengan 19 parti yang merupakan gabungan besar dalam sejarah politik negara.
Katanya gabungan ini wujud dengan setiap parti senada mahu kestabilan politik yang penting kepada ekonomi negara.
“Berbeza PN, walaupun dijemput menyertai Kerajaan Perpaduan tetapi mereka menolak dengan angkuh.
“Bagi PH dan BN yang menyertai Kerajaan Perpaduan ini mahu memulihkan negeri selepas pandemic Covid-19 yang menyebabkan ekonomi negara tidak berkembang hingga menjejaskan rakyat khususnya golongan peniaga dan bekalan barang keperluan rakyat,” kata Amirudin yang merupakan Naib Presiden Parti Keadlian Rakyat (PKR).