PRN Selangor: Isu calon bukan anak tempatan tidak menjejaskan prestasi BN di Dusun Tua – Jeffery Nor

KUALA LANGAT: Jentera Barisan Nasional (BN) memanfaatkan sepenuhnya tempoh baki lima hari ini memastikan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz menang pada 12 Ogos ini.

Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffery Nor Mohamed berkata, ketika ini jentera Pakatan Harapan (PH) sudah mula menerima calon BN berikutan sebelum ini kerusi Dusun Tua merupakan milik DAP.

Katanya, pihak pembangkang cuba menimbulkan isu calon BN bukan anak tempatan tetapi Datuk Johan Abd. Aziz merupakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat.

“Bukanlah isu besar ditimbulkan oleh pihak pembangkang, namun kita yakin isu ini dilihat meningkatkan keserasian antara jentera BN dan PH membantu kemenangan calon BN pada 12 Ogos ini.

“Baki kempen kurang empat hari ini, kita sudah menyusun atur gerak kerja mengenalpasti lokaliti pengundi, sambil memeriksa kadar pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta menggerakkan jentera untuk menjejak pengundi tegar kedua-dua parti,” katanya di sini hari ini.

Jeffery Nor berkata, jentera BN dan PH akan menerapkan kepada pengundi mengapa perlu memilih calon yang sentiasa mengutamakan masalah rakyat serta bukan timbul menjelang musim pilihan raya.

“Jangan pilih mereka yang muncul secara tiba-tiba (PRN)…Ketika musim musibah seperti banjir mereka ini tidak pernah membantu rakyat.

“Memilih pemimpin ini merupakan satu tanggungjawab besar malah pengundi perlu memastikan pemimpin mewakili mereka adalah berjiwa rakyat serta senang membantu apabila diperlukan mereka,” kata Jeffery yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah.