KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menggunakan dana sendiri terlebih dahulu bagi melaksanakan projek khas jangka pendek menangani krisis bekalan air di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata kerajaan negeri tidak menunggu sehingga peruntukan RM300.25 juta yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan sebelum ini diterima bagi memulakan kerja.
Katanya, lapan daripada 20 projek jangka pendek yang disenaraikan sebelum ini sudah diluluskankan dan ia perlu dilaksanakan segera Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
“Penyaluran peruntukan (RM300.25 juta) daripada Kerajaan Persekutuan setakat ini belum dibuat tetapi Kabinet Sabah pada 26 Julai lalu sudah bersetuju supaya JANS dapat memulakan program yang dirancang.
“JANS sudah membentuk jawatankuasa khas program pemulihan dan penstabilan tekanan air khususnya di kawasan Kota Kinabalu yang turut merangkumi daerah Tuaran dan Putatan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Datuk Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) berhubung pelaksanaan projek pemulihan bekalan air yang diumumkan sebelum ini.
Teck Lee merujuk kepada peruntukan RM300.25 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun lalu bagi melaksanakan projek jangka pendek mengatasi isu bekalan air di Sabah.
Shahelmey berkata, JANS juga sudah memulakan kertas kerja penyediaan pra pelaksanaan projek sebagai persediaan untuk pelaksanaan projek sejurus peruntukan disalurkan.
Menjawab satu lagi soalan tambahan daripada Datuk Darell Leiking (WARISAN – Moyog) mengenai dana daripada Kerajaan Persekutuan itu, Shahelmey berkata ia diberikan dalam bentuk pinjaman mudah kepada Kerajaan Negeri.
“Dalam Mesyuarat pertama, Perdana Menteri membayangkan ianya sebagai satu pinjaman mudah dengan kos yang paling minima RM300 juta itu untuk membiayai inisiatif jangka pendek segera menyelesaikan masalah yang kita hadapi,” katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri pada mulanya membentangkan kepada Perdana Menteri pelan jangka panjang membabitkan penggantian paip usang, pembinaan loji dan empangan dengan kos lebih RM10 bilion.
Bagaimanapun, katanya perkara itu memerlukan pembentukan jawatankuasa khas untuk melihat kaedah pelaksanaannya seperti dicadangkan Perdana Menteri kerana membabitkan jumlah kewangan yang besar.
Terdahulu, Shahelmey berkata Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pasukan Petugas Khas Isu Bekalan Air Sabah Bil 1/2023 yang diadakan pada 13 Jun lalu hanya memperakukan lapan projek dengan kos RM185 juta daripada 20 projek jangka pendek yang telah dimohon.
“Baki 12 projek tidak diperakukan oleh Jawatankuasa Teknikal kerana ianya melibatkan operasi dan penyelenggaraan berdasarkan kriteria ditetapkan di bawah Garis Panduan Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) 2021-2025.
“Namun begitu, Jawatankuasa Teknikal mengambil maklum hasrat Kerajaan Negeri untuk memohon pertimbangan Pasukan Petugas Khas supaya meluluskan semua 20 projek jangka pendek yang dimohoh sebelum ini,” katanya.