KOTA KINABALU: Seramai 799,782 orang menerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Sabah membabitkan peruntukan sebanyak RM696.3 juta yang disalurkan Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM494 juta sudah diagihkan sehingga pembayaran fasa ketiga yang bermula pada 26 Jun lalu.
Katanya, baki sebanyak RM202 juta lagi akan disalurkan dalam fasa empat pada November depan.
“Dari segi kaedah pembayaran, STR dikreditkan terus ke akaun bank penerima dan ia sudah dilaksanakan mengikut fasa dengan yang terkini, pembayaran Fasa 3 pada 26 Jun 2023 sehingga 5 Julai 2023.
“Bagi penerima yang tiada akaun bank pula, mereka boleh membuat penunaian di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang berdekatan sehingga 31 Disember 2023.
“Bagi memastikan STR dapat disampaikan kepada penerima khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, kerajaan juga akan melaksanakan program penunaian di lapangan, melibatkan daerah yang berkaitan di Sabah bermula 3 Ogos lalu hingga pertengahan September depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Hajiji menjawab pertanyaan Jannie Lasimbang (DAP – Kapayan) berkaitan status permohonan STR dari Sabah berikutan masih ada aduan pemohon yang tidak disenaraikan sebagai penerima bantuan berkenaan.
Ketua Menteri berkata, antara sebab permohonan tidak diluluskan adalah kerana tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan seperti yang berikut.
“Pemohon mempunyai pendapatan melebihi RM5,000 sebulan bagi isi rumah dan warga emas tiada pasangan serta pendapatan melebihi RM2,500 bagi individu bujang tidak memenuhi kelayakan ditetapkan.
“Selain itu, kegagalan pemohon mengemukakan dokumen status perkahwinan atau perceraian dan tidak melepasi syarat individu bujang serta berstatus pelajar sepenuh masa juga menyebabkan permohonan tidak diluluskan,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Jannie mengenai usaha Kerajaan Negeri membantu mereka yang tercicir walaupun layak menerima STR, Hajiji berkata pihaknya sentiasa memantau perkara itu.
Bagaimanapun, katanya pendaftaran penerima dibuat secara terus mengikut data yang ada dalam pendapatan pemohon melalui jabatan atau agensi yang berkaitan.
“Mana-mana yang tercicir boleh mohon semula dan kita akan bantu untuk memastikan yang layak menerima STR. Jika ada lagi yang berpendapatan bawah RM5,000 tetapi tidak menerima STR, boleh maklumkan kita dan kita akan selaraskan kepada pihak yang berkaitan,” katanya.
Menjawab soalan Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN – Usukan) sama ada senarai penerima STR boleh diberikan kepada wakil rakyat bagi memudahkan pemantauan mereka yang menerimanya, Hajiji berkata beliau yakin perkara itu dibolehkan.
“Senarai ini bukan rahsia, ia boleh didedahkan untuk maklumat wakil rakyat atau umum dan mereka juga boleh menegur serta memberi cadangan jika ada yang layak tetapi tidak mendapat bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, seramai 35,461 golongan dalam kategori miskin tegar di Sabah turut menerima bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan jumlah keseluruhan RM21.27 juta pada tahun ini.