KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah meluluskan peruntukan kecemasan bagi mengatasi pelajar sekolah di Kampung Nangkawangan Nabawan terpaksa menggunakan rakit serta ‘Zipline’ menyeberangi sungai sehingga tular di media sosial sejak malam tadi.
Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, dua hari lalu sepasukan Pegawai Teknikal dari Unit Penyelaras Pelaksana serta Pejabat Daerah sudah mengadakan lawatan kawasan terbabit.
Katanya, lawatan itu bertujuan bagi membolehkan mereka dapat menyediakan laporan serta kerja-kerja awal sekali gus mengambil tindakan berkaitan diperlukan di kawasan berkenaan.
“Saya sudah bertemu dengan Perdana Menteri untuk memaklumkan keadaan di beberapa kawasan di Nabawan yang terjejas teruk akibat banjir besar, baru-baru ini.
“Dalam pertemuan tersebut saya maklum berkaitan situasi ini, iaitu kerosakan yang dialami sehingga mengakibatkan masalah penduduk kampung berhampiran. Kawasan ini merupakan laluan utama masyarakat kampung serta pelajar sekolah setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, berkata dalam tempoh terdekat beliau akan bertemu dengan penduduk kampung bagi mencari jalan terbaik termasuk menyediakan pengangkutan lebih selamat kepada pelajar sekolah terbabit.
“Kita akan mengusahakan kemudahan pengangkutan bersesuaian bagi memudahkan penduduk kampung serta pelajar sekolah yang seringkali menggunakan jalan ini sebagai laluan utama mereka,” katanya.
Terdahulu, beberapa video menyaksikan pelajar di Kampung Nangkawangan di daerah Nabawan menyeberangi sungai untuk ke sekolah dengan berakit sambil menaiki ‘zipline’ sehingga tular di media sosial sejak malam tadi.
Dilaporkan penduduk setempat dan pelajar sekolah saban hari bergadai nyawa untuk menyeberangi sungai selepas jambatan gantung di situ dihanyutkan banjir bulan lalu.