1,183 warga UMS jayakan ‘Jom Baca Bersama untuk 10 Minit’

KOTA KINABALU: Seramai 1,183 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjayakan program “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit” secara dalam talian baru-baru ini.

Bertemakan ‘Bangkit Baca Syukur’, program itu juga diadakan serentak dengan program sama di peringkat nasional yang berlangsung di seluruh negara.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin, objektif utama penganjuran adalah memberi kesedaran dan memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar dan kakitangan universiti serta masyarakat setempat.

“Program seumpama ini merupakan satu inisiatif yang cukup baik kerana mampu membugarkan kembali satu amalan mulia yang menjadi tuntutan agama serta selari dengan hasrat negara mewujudkan masyarakat berpengetahuan.

“Justeru, saya ucapkan syabas dan tahniah atas komitmen warga UMS dalam menjayakan program pada kali ini,” katanya.

Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Md Sazali Md Salleh berkata, program itu bermula di negara ini sejak tahun 2014 bagi menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia dan seterusnya menjadikan tabiat suka membaca sebagai satu amalan hidup.

“Ia diadakan dengan gabungan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia, dan Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) sebagai sokongan terhadap KPM bagi menjadikan Malaysia negara membaca menjelang tahun 2030.

“Di peringkat UMS,  Program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit diselaraskan Perpustakaan UMS sejak tahun 2016 melibatkan penyertaan warga UMS di peringkat Jabatan, Akademik, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian (JAFPIB) di UMS Kampus Induk Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Sandakan.

“Hasil pembacaan yang sahih dalam kalangan pelajar universiti adalah untuk memberikan pengetahuan kreatif dan inovatif, rekreasi serta pelbagai manfaat lain.

“Manakala, bagi penjawat awam pula, amalan membaca dapat meningkatkan profesionalisme dan menambah ilmu dalam urus tadbir kerajaan,” jelasnya yang kini menjalankan fungsi Ketua Pustakawan UMS.

Untuk rekod, “Program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit” itu juga merupakan salah satu pengisian Program Cintai Ilmu Jabatan Perpustakaan bagi tahun 2022 yang bermula pada bulan April hingga Disember 2022.