KOTA KINABALU: Everise Ventures Sdn Bhd (EVSB), syarikat pengurusan Sandakan Turf Club (STC) hari ini mengumumkan bahawa berkuat kuasa 1 Mei 2022, waktu perniagaan untuk semua cawangan 4Dnya semasa hari cabutan adalah dari 8 pagi hingga 7 malam.
Manakala pada hari tanpa cabutan, waktu perniagaan adalah dari 9 pagi hingga 4 petang dan semua cawangan 4D akan ditutup pada setiap hari Jumaat.
“Kami berharap semua pelanggan kami akan mengambil perhatian terhadap perubahan waktu tersebut pada waktu perniagaan kami dan sebarang kesulitan yang timbul amat dikesali,” kata EVSB dalam satu kenyataan.
EVSB menjelaskan bahawa langkah tersebut adalah selaras dengan semakan waktu perniagaan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) baru-baru ini di bawah Pelan Pemulihan Nasional (NRP).
“Apabila kerajaan membenarkan perniagaan permainan dibuka semula, kami menyesuaikan waktu perniagaan kami dengan mengambil kira keperluan pelanggan kami, serta keadaan pada masa itu. Dengan permulaan dasar gaji minimum baharu berkuat kuasa 1 Mei 2022, kami akan melaraskan lagi waktu perniagaan kami,” katanya.
EVSB seterusnya menyatakan bahawa, berikutan kelonggaran pelbagai prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 oleh kerajaan secara berperingkat, waktu perniagaan pelbagai perniagaan dan industri juga telah diselaraskan sewajarnya.
Oleh itu, STC juga telah memutuskan untuk mematuhi waktu perniagaan terkini yang dikeluarkan oleh MoF.
“Kami berharap pelarasan terkini pada waktu perniagaan kami akan memenuhi keperluan pelanggan kami dengan lebih baik, terutamanya memberi mereka lebih masa untuk membuat pertaruhan semasa hari cabutan,” katanya.
Selain itu, EVSB juga berjanji akan terus menganjurkan program dan aktiviti untuk menyumbang kepada masyarakat dengan mengikut kemampuannya apabila perniagaannya kembali ke landasan.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan kami yang dihargai atas sokongan mereka selama ini, terutamanya semasa pandemik. Kini, dengan semua perniagaan dan industri beransur pulih, kami berharap ia juga akan memberi manfaat kepada semua orang,” tambahnya.
Sementara itu, mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai waktu perniagaan baharunya digesa menghubungi cawangan STC terdekat untuk mendapatkan penjelasan.