Persidangan SKAW Plafform Terbaik Bincang Pelbagai Isu Keselamatan – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berharap Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) yang berlangsung di negeri ini menjadi platform terbaik membincangkan pelbagai isu termasuk berkaitan keselamatan dan memperkasa Askar Wataniah sebagai antara benteng pertahanan negara.

Beliau merupakan Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Sabah, turut menyokong kegiatan Askar Wataniah di negeri ini.

“Sebab itu, saya amat mengalu-alukan Sidang Komander Askar Wataniah ini diadakan di Sabah. Saya dimaklumkan antara tujuan persidangan atau mesyuarat ini adalah untuk membincangkan hal-hal pemerkasaan Askar Wataniah antaranya dari segi pentadbiran dan aspek logistik.

“Sebagai negeri berhampiran dengan beberapa negara jiran, sudah pasti aspek keselamatan amat kita titikberatkan. Ini bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negeri ini termasuk memberi jaminan kepada keselamatan rakyat di Sabah,” katanya di sini semalam.

Hajiji berkata, dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri menerusi pelan pembangunan kami iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kita amat perlu mengekalkan keamanan dan keharmonian.

Hajiji berkata, pelaksanaan Hala Tuju SMJ bukan saja memberi penekanan dalam tiga sektor utama ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan tetapi juga berkaitan modal insan dan kesejahteraan rakyat serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

“Dalam aspek kesejahteraan rakyat, pelbagai langkah proaktif secara berterusan dilaksanakan antaranya menyediakan rumah untuk golongan miskin di luar bandar, menerusi Program Rumah Mesra SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kerajaan Negeri juga menyediakan pelbagai bantuan pendidikan bagi membantu anakanak Sabah meneruskan persekolahan mereka. Sebab itu, saya amat memberi penekanan dalam aspek keselamatan agar lebih banyak lagi pembangunan dapat dibawa ke negeri ini,” katanya.

Beliau turut berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan dengan mengadakan persidangan ini di Sabah.

“Majlis ini bukan saja untuk meraikan Ahli Sidang Komander Askar Wataniah, tetapi ia juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan di antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Angkatan Tentera Malaysia amnya dan Askar Wataniah khasnya,” katanya.