KOTA KINABALU : Sebarang pendakwaan terhadap individu tidak wajar dijadikan senjata politik murahan sekali gus ia dilihat boleh mengganggu kestabilan kerajaan negeri.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, beliau menyatakan sokongan padu terhadap ketegasan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.
Katanya, ini kerana beliau tidak tunduk kepada tekanan atau permainan persepsi berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau sejak awal berpegang kepada prinsip integriti dan akauntabiliti.
“Kami tidak menyembunyikan salah laku, tidak melindungi sesiapa, tetapi juga tidak membenarkan sesiapa menjadikan pendakwaan individu sebagai peluru politik,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, tindakan SPRM bukanlah satu perkara baharu dan kerajaan kini tidak pernah berdolak-dalih dalam hal melibatkan integriti.
“Apa yang membezakan kerajaan hari ini ialah kami tidak menyorok di sebalik slogan, tidak menyerang SPRM dan tidak mengalihkan tumpuan.
“Kami biarkan undang-undang berjalan sebagaimana wajar dalam sebuah kerajaan yang matang dan menjunjung keluhuran Perlembagaan,” jelas Nizam.
Menurutnya, beliau turut mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak menangguk di air keruh dan tidak menari di atas persepsi yang tidak berasas.
“Pendakwaan terhadap individu tidak sama dengan pendakwaan terhadap kerajaan.
“Jika ada yang menyangka ini peluang untuk melemahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mereka silap besar,” katanya.
Nizam berkata, kerajaan negeri kekal stabil, kukuh dan terus berfungsi seperti biasa dalam melaksanakan amanah rakyat.
“Biarlah proses kehakiman berjalan dengan adil dan telus. Hanya mahkamah yang berhak menentukan kesalahan individu berdasarkan fakta dan bukti.
“Prinsipnya jelas — seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah,” ujarnya.
Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah menyeru semua pihak agar menghormati proses undang-undang dan tidak mempolitikkan isu berkenaan demi kepentingan peribadi.