KOTA KINABALU: Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan dakwaan beliau melupuskan pinjaman tidak berbayar (NPL) RM178 juta kepada sebuah syarikat semasa mengetuai pentadbiran Sabah.
Katanya, beliau menegaskan tiada satu NPL yang dilupuskan sepanjang beliau menjadi ketua menteri dan pengerusi Lembaga Pengarah Sabah Development Bank (SDB) dari Mei 2018 hingga September 2020.
Menurutnya, setiap keputusan kewangan tertakluk kepada proses dalaman bank serta penilaian kredit yang ketat dan beliau juga tidak campur tangan dalam urusan harian atau keputusan
pinjaman khusus di SDB.
“Tuduhan saya melindungi kroni atau memberi layanan istimewa kepada peminjam yang mempunyai hubungan politik adalah satu pembohongan. Saya tidak pernah campur tangan dalam kelulusan pinjaman atau urusan kewangan bank.
“Justeru dakwaan kononnya saya ‘melupuskan pinjaman RM178 juta kepada CASH Bhd’ adalah satu pemutarbelitan fakta disengajakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shafie merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang menegaskan akan mengambil tindakan terhadap pihak menyebarkan fitnah itu.
Shafie mengulas laporan sebuah portal tempatan Sabah yang mendakwa beliau meluluskan pelupusan hutang sebuah syarikat yang didakwa kroni kepadanya.
Ahli Parlimen Semporna itu turut mempersoalkan mengapa pendedahan itu dibuat sekarang sedangkan perkara terbabit didakwa sudah lama berlaku.
“Saya tidak takut disiasat secara bebas dan telus. Namun saya tidak akan berdiam diri apabila pembohongan terus diulang dan dijaja demi kepentingan politik.
“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah dan mencemarkan nama baik saya,” katanya.