KOTA KINABALU: Seorang Penyelia Jururawat menjadi penderma pelbagai organ dan tisu yang pertama di Sabah pada tahun ini.
Kes pendermaan organ oleh Allahyarham Sulimah binti Gilong, 59, di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), Kota Kinabalu yang merupakan kes ke-5 di Sabah bagi tahun 2023.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Asits Sanna berkata Allahyarham Sulimah disahkan kematian otak dan telah berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia selama 34 tahun sejak 1989.
Katanya tempat bertugas beliau yang terakhir adalah di Wad Perubatan Am 4 dan Wad Respiratori, Hospital Queen Elizabeth.
Katanya beliau merupakan seorang jururawat yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas, disenangi oleh rakan sekerja dan prihatin terhadap keperluan pesakit.
‘Allahyarhamah telah berdaftar sebagai pengikrar penderma organ sejak tahun 2015.
“Hasrat murni beliau untuk menjadi penderma organ selepas kematian, telah disempurnakan setelah pihak hospital mendapat persetujuan bertulis daripada warisnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Antara organ dan tisu yang telah didermakan termasuklah sepasang buah pinggang, hati dan sepasang kornea (mata).
Dr Asits berkata pendermaan organ dan tisu oleh Allahyarhamah telah menyelamatkan nyawa tiga orang pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati serta memberi sinar penglihatan kepada dua pesakit yang lain.
Menurutnya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli keluarga yang telah menunaikan hasrat beliau serta anugerah kehidupan yang diberikan.
Beliau mengucapkam salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga di atas pemergian dan semoga keluarga arwah diberikan kekuatan untuk menghadapi kehilangannya.
“Kami mendoakan semoga segala amal ibadahnya diterima serta ditempatkan di kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menyeru orang ramai supaya menjadikan Allahyarhamah Sulimah binti Gilong sebagai inspirasi dan teladan.
“Seorang jururawat yang menabur khidmat bakti semasa hayatnya dan terus berbudi setelah pemergiannya,” kata Dr Asits.