TAWAU : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) telah menerima lebih 142 aduan mengenai konflik gajah sejak Januari lepas hingga kini.
Menterinya, Datuk Christina Liew berkata sebahagian besar aduan berlaku di kawasan Pantai Timur Sabah yang mana 77 aduan dilaporkan di Tawau.
Malah, katanya beberapa aduan diterima adalah aduan berulang yang melibatkan tempat yang sama.
“KEPKAS melalui Jabatan Hidupan Liar sentiasa mengambil tindakan terhadap aduan mengenai serangan gajah yang merosakkan tanaman dan memberi khidmat nasihat berhubung dengan pendekatan yang boleh diambil oleh pihak yang terkesan untuk mengurangkan kerosakan yang dialami,” katanya pada sambutan Hari Gajah Sedunia Peringkat Negeri di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakil, Murad Abdul Rashid.
Christina berkata di Sabah, dianggarkan terdapat lebih kurang 1,500 ekor gajah, yang terdapat di kawasan-kawasan habitat hutan di bahagian Tengah dan Pantai Timur Sabah.
Katanya populasi Gajah Borneo ini sangat terancam oleh kepupusan disebabkan oleh beberapa faktor, dan antara faktor utama adalah penguncupan kawasan habitat yang sesuai untuk gajah disebabkan oleh perubahan guna tanah di Sabah.
Menurutnya banyak kes kematian gajah yang berlaku di Sabah berkait rapat dengan masalah konflik gajah dan manusia, khususnya di kawasan-kawasan perladangan dan penempatan manusia.
Justeru itu, katanya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengurangkan kesan gangguan gajah dan menghalang gajah memasuki kawasan perladangan dan pertanian.
Katanya, ia termasuk usaha mewujudkan koridor laluan gajah, membina dan menyelenggara pagar eletrik dan menanam sumber makanan gajah di kawasan yang sesuai.
Dalam pada itu, Christina berkata pelbagai usaha dan program telah dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan Gajah Borneo.
Antaranya, beliau berkata, mengenalpasti kawasan sesuai untuk keliaran gajah dan korridor gajah, penambahbaikkan SOP untuk aktiviti mitigasi konflik gajah-manusia, latihan komprehensif kepada komuniti tempatan untuk menangani konflik gajah-manusia, penubuhan kumpulan sukarelawan di kalangan komuniti setempat untuk membantu mengiring gajah keluar dari kawasan yang menghadapi konflik.
Penambahbaikkan fasiliti kurungan gajah di Taman Hidupan Liar Lok Kawi, latihan teknikal penjaga gajah dalam kurungan di Indonesia dan program pendidikan konservasi gajah, katanya.
Lebih 2,640 peserta telah menjayakan Jelajah Kesedaran Hari Gajah Sedunia 2023 yang bermula sejak 24 Julai lalu dengan memfokuskan kepada pelajar sekolah dan guru-guru di Tawau, perjumpaan dengan komuniti di Tongod dan Perayaan Hari Gajah di Beluran.