Penjawat Awam diminta pastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar seperti biasa sepanjang tahun Pilihan Raya ini – Hajiji

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berharap agar semua penjawat awam akan terus berpegang teguh kepada prinsip profesionalisme, neutraliti dan integriti dalam melaksanakan tugas sepanjang tahun pilihan raya ini.

“Kita bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri pada tahun ini. Sebagai tulang belakang pentadbiran Kerajaan Negeri, penjawat awam harus memastikan segala urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas serta terus berjalan lancar seperti biasa.

“Kecekapan dan ketelusan penjawat awam dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini mencerminkan komitmen kita untuk terus mendukung sistem demokrasi dan kestabilan pentadbiran negeri,” katanya.

Berucap semasa mempengerusikan mesyuarat Pasca-Kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu hari ini, Hajiji turut menggesa semua Ketua Jabatan untuk menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.