KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM16,000.
Ini sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja di bawah syarikatnya bekerja.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 4 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2024 dan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM16,000.
“Suspek dipercayai telah menerima suapan secara transaksi pindahan ke akaun bank miliknya secara berperingkat sebagai balasan untuk mendapatkan kerja-kerja membaik pulih di bawah GLC tersebut di sekitar negeri Sabah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Katanya, suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah esok bagi permohonan reman.