PRN Sabah: GRS Perlu Tenang, Perkukuh Jentera Hadapi Serangan Politk Lama – Aksyah

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu kekal tenang, tidak goyah dan terus memperkukuh barisan serta jentera parti dalam mendepani gelombang serangan politik yang semakin rancak menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).

Aktivis masyarakat dan pemerhati politik,  Aksyah Nasrah berpendapat, GRS kini bukan sekadar menjadi sasaran serangan persepsi dan dakwaan berunsur fitnah, malah sedang berdepan dengan episod dramatik yang sengaja dicipta untuk menggugat keyakinan rakyat terhadap kestabilan gabungan parti-parti tempatan itu.

Beliau memuji keteguhan dan kesetiaan kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang kekal utuh dalam GRS walaupun diasak dari pelbagai penjuru.

“Saya memuji keikhlasan, keberanian dan kekuatan solidariti pimpinan PBS dan STAR dalam mendepani cabaran yang sedang menyelubungi kedua-dua parti itu.

“Mereka tidak goyah malah semakin kukuh bersama GRS walaupun ada ‘kad’ baharu dimainkan pihak lawan,” katanya dalam perkongsian di Facebooknya.

Aksyah menyifatkan cubaan menggugat kestabilan GRS sebagai satu “drama politik murahan” yang sengaja direka, antaranya menerusi kemunculan individu seperti Albert Tei yang kini berdepan pertuduhan di mahkamah.

Menurutnya, tindakan scammer Albert Tei yang mengaku memberi wang suapan dalam kenyataan terdahulu, namun mengaku tidak bersalah di mahkamah, menggambarkan percanggahan ketara yang menimbulkan persoalan terhadap keabsahan kes tersebut.

“Semasa bertopeng, kenyataannya lantang dan berapi. Namun pada hari pertama perbicaraan, dia kelihatan seperti terlupa skrip dan terus menukar pengakuan kepada tidak bersalah. Ini menunjukkan betapa rapuh dan tidak konsistennya naratif yang cuba dibawa,” katanya.