Dalami tanaman pertanian moden untuk jana pendapatan – Dr Yusof

SIPITANG : Dalam usaha memperkasakan sektor pertanian di daerah ini, masyarakat khususnya golongan belia disarankan untuk mendalami ilmu pertanian moden khususnya dalam bidang fertigasi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, tanaman fertigasi kian mendapat tempat sebagai kaedah penanaman yang efisien dan berdaya saing.

Dr Yusuf bersama peserta selepas Kursus Pakej Teknologi Penanaman Cili Bara dan Halia Secara Fertigasi di sini hari ini.

Katanya,  teknologi fertigasi mampu meningkatkan hasil tanaman seperti cili, tomato, melon, dan sayuran berdaun dengan penggunaan air dan baja yang lebih terkawal.

Katanya, sistem ini sangat sesuai dilaksanakan di kawasan tanah terhad atau kurang subur.

“Ilmu fertigasi bukan hanya memberi pendedahan kepada teknik penanaman moden, malah mampu membuka peluang keusahawanan khususnya anak muda yang ingin menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan tetap,” katanya ketika merasmikan Kursus Pakej Teknologi Penanaman Cili Bara dan Halia Secara Fertigasi anjuran Jabatan Pertanian Sabah di Perpustakaan Daerah Sipitang, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pertanian Kanan Daerah Sipitang Arbaania Simbo.

Dr Yusof berkata, dengan bimbingan yang betul, mereka yang mengusahakan tanaman fertigasi berskala kecil hingga komersial telah berjaya  malah ada yang berjaya menembusi pasaran luar negara.

Beliau yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata,  kerajaan turut menyediakan pelbagai bantuan dan kursus latihan kepada individu yang berminat, termasuk kemudahan peralatan, sistem pengairan, dan benih berkualiti.

“Masyarakat perlu mengubah persepsi bahawa pertanian adalah pekerjaan ketinggalan zaman. Dengan teknologi seperti fertigasi, pertanian kini adalah industri moden yang menjanjikan keuntungan dan kestabilan ekonomi,” katanya.

Justeru, beliau menggalakkan khususnya lepasan sekolah dan graduan universiti,  untuk menyertai kursus pertanian anjuran jabatan dan agensi berkaitan bagi memulakan langkah dalam bidang ini.

Dr Yusof berkata, dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, teknologi fertigasi mampu menjadi pemangkin kepada transformasi sektor pertanian negara khusus di Sipitang ke arah yang lebih maju dan mampan.