BESS Terbesar Di Asia Tenggara Mula Beroperasi Di Lahad Datu

LAHAD DATU : Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 megawatt (MW) terbesar di Asia Tenggara mula beroperasi dan disambungkan dengan sistem Grid Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata, projek mula dibangunkan pada September 2024 beroperasi dengan simpanan tenaga sebanyak 400 megawatt sejam (MWj).

Katanya, ia juga mampu menampung kapasiti tenaga rizab simpanan Grid Sabah di waktu puncak sebanyak 50MW dan akan mencapai kapasiti penuh 100MW pada awal Ogos nanti.

“Kita dapat memberikan jaminan dengan adanya bateri ini nanti, bekalan kepada pengguna di pantai timur Sabah yang dikatakan berkurangan sedikit sebanyak dapat diatasi,” katanya.

Lawatan itu turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Elopura Power Sdn Bhd, Qaddafi Abdullah Bajerai.

Dalam pada itu, Mohd Yaakob berkata, kepercayaan pihak Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Kerajaan Negeri Sabah kepada Sabah Electricity untuk melaksanakan projek BESS ini digalas dengan penuh usaha dan tanggungjawab.

Menurutnya, ia bagi memastikan projek berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan meningkatkan prestasi bekalan elektrik yang mampan di negeri ini.

“Lokasi stesen BESS di Jalan Dam, Lahad Datu strategik kerana mampu membawa perubahan kepada kestabilan penyaluran tenaga elektrik ke dalam Sistem Grid Sabah terutamanya di kawasan pantai timur.

“Projek ini akan dapat meningkatkan kestabilan kapasiti tenaga dalam Grid Sabah, di samping menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan meningkatkan potensi kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui,” jelasnya.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mengintegrasikan sumber tenaga boleh diperbaharui.