KOTA KINABALU: “Pemergian Zara telah menyatukan kita semua merentasi sempadan dan perbezaan,” kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar,.
Menurutnya, dua minggu lalu beliau terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu untuk bertemu ibu Zara, Noraidah Lamat namun pada ketika itu ibu Allahyarhamah masih belum bersedia untuk berjumpa.
“Saya tidak memaksa, tetapi syukur hari ini saya diberi ruang untuk menyampaikan takziah kepadanya secara bersemuka,” katanya.
Nurul berkata, sebagai seorang ibu, beliau merasai kesedihan yang ditanggung oleh ibu Zara yang hanya mahu melihat anaknya membesar dengan sihat dan ceria.
“Zara seperti anak kita semua. Peribadinya sopan, akhlaknya mulia, dan berpegang teguh pada ajaran agama. Pemergian Zara telah menyatukan kita semua,” katanya.
Beliau menegaskan tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan sehingga pihak yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal, selain memastikan persekitaran selamat untuk semua kanak-kanak.
“Kita akan terus mengikuti dan memantau setiap perkembangan kes ini kerana setiap anak berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.
“Ini tanggungjawab bersama untuk melindungi dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang,” katanya.
Nurul Izzah turut menyeru semua pihak agar terus berdoa, berusaha dan bertawakal supaya keadilan dapat ditegakkan dan roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
