Keracunan Makanan: Dua Beranak Maut Lepas Hadiri Kenduri kahwin

TAWAU : Seorang wanita berusia 36 tahun dan anak lelakinya berusia sembilan tahun maut dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri sebuah majlis kenduri kahwin di Kampung Batu 4, Jalan Apas, di sini pada Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, kejadian itu disedari selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 24 tahun yang memaklumkan bahawa ibu saudaranya dan anak kepada wanita itu meninggal dunia akibat mengalami muntah dan cirit-birit yang teruk.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa menghadiri majlis berkenaan dan turut membawa pulang makanan yang dibungkus untuk suami mangsa. Suami mangsa juga mengalami simptom sama bermula Ahad pagi sehingga petang Isnin.

“Beberapa tetamu lain yang hadir ke majlis kenduri turut dilaporkan mengalami simptom keracunan makanan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat, dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan dengan bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pasukan Forensik IPK Sabah juga telah membuat pemeriksaan di lokasi.

“Barang kes termasuk sampel makanan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Siasatan masih diteruskan termasuk mendapatkan keterangan saksi lain,” katanya.