Pembukaan Bank Rakyat Ranau beri manfaat 85,000 penduduk Ranau

RANAU :  Bank Rakyat terus komited dalam memastikan setiap segmen masyarakat mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan dengan pembukaan cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change yang akan memanfaatkan 85,000 penduduk di Daerah Ranau.

Majlis perasmian pembukaan cawangan baharu ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick., hari ini

Ewon Benedick

Dalam ucapan perasmiannya, Ewon berkata, Rakyat Xcess menawarkan rangkaian kemudahan perbankan yang boleh diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat seperti pembukaan akaun simpanan.

Katanya, Ar-Rahnu X’Change pula menyediakan pembiayaan patuh Syariah bercagarkan emas iaitu Skim Pembiayaan Pajak Gadai-i yang mudah dan pantas.

Tambah beliau, inisiatif perluasan rangkaian perbankan ini adalah amat selari dengan komitmen berterusan Kementerian dalam memenuhi mandat yang didukung untuk membantu membangunkan golongan unserved dan underserved khususnya di kawasan luar bandar.

“Ia menerusi penyediaan pelbagai penyelesaian kewangan dan perbankan yang bersesuaian dengan keperluan individu serta perniagaan.

“Pembukaan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change di Ranau yang terkenal dengan aktiviti pelancongan ini juga amat sejajar dengan matlamat Kerajaan untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan keusahawanan di negeri Sabah.

“Inisiatif ini juga amat bertepatan dengan konsep Malaysia Madani untuk menyediakan kebolehcapaian ekosistem kewangan yang lebih inklusif,” kata Ewon.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, Bank Rakyat sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mengukuhkan rangkaian perniagaannya di setiap pelusuk negara tidak kira di bandar mahu pun di luar bandar, demi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

“Kami ukan hanya mementingkan keuntungan serta operasi perniagaannya semata-mata.

“Saya juga percaya bahawa cawangan yang dilengkapi dengan fasiliti dan perkhidmatan termasuk produk pembiayaan, simpanan serta pelbagai perkhidmatan lain ini akan memanfaatkan lebih 85,000 orang penduduk daerah Ranau serta kawasan sekitarnya, khususnya dalam melaksanakan urusan perbankan yang mudah, selamat dan pantas,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Bank Rakyat turut menyerahkan sumbangan Program Kasih Wira Negara kepada tiga waris perwira Polis Diraja Malaysia yang terkorban dalam insiden

pertempuran di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 sebagai pengiktirafan terhadap keberanian dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan negara.

Selain itu, Bank Rakyat juga telah melaksanakan aktiviti pengindahan termasuk mengecat dan membaik pulih hentian bas dan pejalan kaki di bawah program kesukarelawanan BaktiRAKYAT pada 28 Oktober lepas yang melibatkan seramai 38 warga kerja Bank Rakyat dengan kerjasama Majlis Daerah Ranau.