KOTA KINABALU: Sekolah-sekolah di negeri ini yang telah mengadakan Solidariti Palestin secara harmoni membuktikan guru-guru di sekolah tersebut bersikap peduli dan tatasusila sebagai rakyat Sabah serta Malaysia yang cintakan keamanan.
Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffery Nor Mohamed menyifatkan sekolah berkenaan bertindak secara profesional dalam mengadakan himpunan tersebut dengan merentasi isu-isu agama dimana mereka mengangkat sifat-sifat peduli insan, empati, persaudaraan dan hak sebagai seorang manusia.
“Tahniah dan syabas kepada beberapa sekolah yang telah mengadakan himpunan aman bersolidariti terhadap rakyat palestin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, seorang menteri dari Pakatan Harapan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe merupakan Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah menyatakan tidak perlu sekolah di negeri ini mengadakan minggu solidariti Palestin.
Jeffery Nor yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah berkata rakyat Sabah semua bersikap terbuka dan percaya pelajar sekolah sudah dididik untuk mengekalkan keamanan .
“Yang paling penting kita mahu anak-anak kita di sekolah diajar juga mengenai sikap belas kasihan kepada insan lain biarpun seagama atau tidak.
“Kita perlu mengangkat soal-soal kemanusian terutama dikalangan anak-anak kita di sekolah, selain fokus kepada bidang akademik tetapi soal-soal rohaniah insan yang baik juga tidak boleh diabaikan.
“Kita tidak mahu suatu hari nanti, anak-anak kita tidak mengenali erti kemanusian dan tidak ambil peduli tentang orang lain, jiwa mereka harus dipupuk menjadi insan yang tahu norma-norma kehidupan yang baik,” katanya.
Beliau yakin dan percaya guru-guru di sekolah amat tahu tatacara bagaimana mengolah naratif program untuk solidariti Palestin ini.
“Kita orang Sabah yang berbilang bangsa dan agama sudah tentu kita ada cara tertentu dan tersendiri untuk mengenang dan menghayati erti kemanusiaan rakyat Palestin,” katanya.
Pada masa sama, Jeffery Nor berharap menteri yang mengeluarkan kenyataan tersebut agar lebih berjiwa besar dan sedar bahawa isu palestin adalah isu yg merentasi pelbagai perbedaan pandangan dan agama.
Katanya sekolah di antara platform permulaan yang terbaik untuk mengajar anak-anak mengenal erti kasih sayang sesama manusia agar negeri dan negara yang dicintai ini tidak menjadi seperti Palestin suatu hari nanti.
“Yang paling penting sebagai pemimpin, tanggungjawab moral itu mesti ada supaya persekitaran kita menjadi kondusif dan relevan dengan perjalanan hidup kita semua,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffery Nor juga mempersoalkan peranan PAS Sabah dalam solidariti Palestin ini.
“Adakah mereka hanya berdiam diri saja kerana selesa duduk dalam kerajaan negeri,” katanya.