LABUAN: Lebih 7,000 warga Labuan daripada pelbagai latar belakang membanjiri padang Dataran Labuan berhimpun bagi menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi terhadap perjuangan Palestin, semalam.
Perhimpunan aman “Himpunan Solidariti Palestin’ dianjurkan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang diketuai oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, (MAIWP) Labuan dan Jabatan Agama Islam (JAWI) Labuan, Perbadanan Labuan.
Turut terlibat dalam menjayakan perhimpunan itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Labuan Majlis Keselamatan negara (MKN) Labuan, Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Labuan.
Manakala Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat Aman Palestin Cawangan Labuan, Pertubuhan Ikhwan Syahadah Labuan, Sukarelawan YADIM, Persatuan Anak Muda Labuan (PEMULA), Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DIMP) Labuan dan Pertubuan Nisa’ Labuan.
Perhimpunan yang dibasahi dengan hujan rahmat seawal pagi itu dimulakan dengan Solat Hajat dan Doa Munajad dan alunan zikir secara berjemaah yang diketuai oleh Timbalan Mufti Pejabat Mufti Labuan Dr, Nik Azlan Nik Man seterusnya diikuti dengan acara perarakan solidariti melalui beberapa jalan raya di sekitar pusat bandar Labuan.
Turut diadakan ceramah solidariti Palestin yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Ustaz Awang Suffian Awang Piut serta Dr Nik Azlan.
Sementara itu, pihak penganjur juga berjaya mengutip derma untuk rakyat Palestin sepanjang program itu berlangusng berjumlah RM29,425 yang kemudiannya diserahkan kepada pihak Aman Palestin Berhad.
Dr Nik Azlan menerusi satu kenyataan berkata himpunan yang diadakan bermula jam 6 pagi itu sebagai tanda kebersamaan semua pihak dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan hak mereka daripada di jajah.
Selain itu, katanya, program ini untuk menerapkan kesedaran kepada selutuh warga Labuan tentang nilai kemanusiaan sejagat dan mikmat kemerdekaan yang perlu dihargai dan juga kepentingan membantu sedaya yang mampu kepada mereka yang tidak bernasib baik.