Keperluan Guru-Guru di Sabah perlu diberi Keutamaan – Pemuda PBS

KOTA KINABALU: Berita mengenai kisah seorang Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan Telupid yang terpaksa tinggal di stor sekolah lebih tiga tahun sejak berkhidmat di sekolahnya turut mendapat perhatian Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ketua Exco Pemuda PBS, Dr Christoper Mandut, berkata, beliau amat kagum mendengar ketabahan Cikgu George Odol menghadapi cabaran dan membuat pengorbanan demi peningkatan pendidikan di sekolah beliau.

Namun, pada masa yang sama, beliau turut menggesa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat penelitian dan keutamaan mengenai keperluan para guru di Sabah.

“Saya cadangkan agar pihak kerajaan dapat menaikkan peruntukan fizikal untuk sekolah-sekolah di Sabah, termasuklah peruntukan sukan sekolah di Sabah.

“Hal itu bagi memastikan isu sedemikian tidak berlanjutan sehingga menjadi satu kebiasaan atau ‘trend’ turun-temurun.

“Bayangkan kita sudah lebih 60 tahun merdeka, dan keadaan seperti ini masih berlaku, walhal acap kali kita mendengar ucapan pemimpin untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara,” tegas beliau menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kisah seperti yang dialami Cikgu George itulah yang antara lain menjadi bukti bahawa Sabah masih ketinggalan dalam arus pemodenan, terutamanya dalam aspek pembangunan pendidikan termasuk infrastruktur sekolah di Wilayah berkenaan.

“Kita ingin melihat lebih banyak usaha baik pulih, naik taraf sekolah dan penyelenggaraan infrastruktur di Sabah sebagai antara keutamaan kerajaan, selain memberi tumpuan terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Justeru, beliau yakin lebih banyak usaha ‘turun padang’ pemimpin setempat terutama di kawasan Pedalaman Sabah, sekaligus membantu menyelesaikan masalah melibatkan pendidikan setempat.

Beliau berharap semoga ini dapat menjadi iktibar kepada Kerajaan untuk lebih memandang serius mengenai keadaan pendidikan di Sabah dan segera mengambil tindakan proaktif dalam meningkatkan infrastruktur sekolah serta memperuntukkan dana yang mencukupi bagi keperluan para guru di wilayah tersebut.