Pelajar sekolah dikejarkan ke hospital akibat terkena sisa merkuri

KINABATANGAN : Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paris di sini dikejarkan ke hospital selepas dilaporkan terkena sisa merkuri, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 8 pagi mengenai kejadian termometer pecah di dalam bilik makmal yang menyebabkan berlakunya tumpahan merkuri.

Pelajar sekolah dikejarkan ke hospital akibat terkena sisa merkuri.

Katanya, sepasukan anggota bomba bersama kenderaan utiliti kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 55 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan.

Ketika berada di lokasi kejadian, pasukan bomba bertindak membersihkan tumpahan merkuri tersebut dengan menggunakan serbuk sulfur dan memasukkannya ke dalam beg pakai buang untuk tujuan pelupusan.

Manakala, mangsa telah dihantar ke hospital berhampiran oleh pihak pengurusan sekolah untuk pemeriksaan lanjut.

Operasi membersihkan kawasan yang terjejas selesai lebih kurang pukul 9.48 pagi.