KOTA KINABALU: lebih 1,500 penduduk sekitar Kampung memperoleh manfaat selepas kerja-kerja gotong-royong membaiki sepanjang dua kilometer jambatan kayu usang di Kampung Cenderamata Satu Likas dekat sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin berkata, jambatan kayu ini memberi manfaat kepada kampung berhampiran termasuk Likas Lama, Gusung serta Taman Kemajuan Likas.

Katanya, jambatan kayu ini merupakan laluan harian utama kepada penduduk termasuk mereka yang bekerja serta anak-anak ke sekolah.
“Kita melihat jambatan kayu yang telah usang ini adalah keperluan kepada penduduk kampung, oleh itu program hari ini sangat memberi manfaat kepada semua.
“Semoga usaha hari ini dapat memberi keselesaan kepada orang ramai. Kita menjangka lebih ramai penduduk menggunakan laluan ini memandangkan ia sudah selesa untuk dilalui,” katanya di sini semalam.
Mengulas mengenai Program Mangkuaya Madani ini Azhar berkata, gotong-royong bersama penduduk sekitar Likas ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim.
“Mangkuaya ini membawa maksud Gotong-royong dalam bahasa Bajau Samah dimana ia perlu diterapkan kepada anak-anak muda.
“Disebalik program ini apa yang kita mahu adalah penglibatan penduduk kamoung bukan saja di kampung Cenderamata tetapi juga dari kampung berdekatan,” jelas Azhar.
Azhar berkata, pihaknya juga akan terus komited dalam membantu golongan yang memerlukan khususnya B40 dengan penyediaan Program Kelas Madani.
“Program Kelas Madani membuka peluang kepada pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dimana DUN Darau akan menyediakan bantuan bimbingan pendidikan,” tambahnya.
Sementara itu, dalam program sama,, Azhar turut menziarah masyarakat yang uzur serta memberi sumbangan barangan keperluan harian dan bantuan wang tunai bagi meringankan beban.
