KOTA KINABALU: Laporan tuntutan penyelarasan gaji minimum dan kerja lebih masa berjumlah RM281,990 membabitkan 14 Pengawal Keselamatan Hospital Beaufort yang meletakkan jawatan 28 Ogos lalu sudah dihantar ke Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) di Kota Kinabalu di sini semalam.
Wakil jurucakap mereka, Yusuf Arif berkata, ini bagi mengemukakan laporan secara terperinci berhubung tindakan pemecatan terancang bekas majikan syarikat Seven Force Sdn Bhd.
Katanya, setakat ini mereka akan menunggu tindakan lanjut pihak JPP sama ada akan diadakan perundingan penyelesaian atau perbicaraan untuk menentukan hak kepada pampasan.
“Aduan juga telah dikemukakan kepada Unit Agensi Persendirian, Kementerian Dalam Negeri terhadap syarikat tentang beberapa perkara termasuklah kegagalan syarikat mematuhi Perintah Mahkamah Buruh.
“Setakat ini kami difahamkan aduan tersebut adalah positif serta dimaklumkan ianya dalam siasatan pihak KDN,” katanya kepada Sabah News Today di sini hari ini.
Yusuf berkata, beliau berharap agar kemelut berkaitan tuntutan ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat sekali gus membolehkan semua rakan-rakannya dapat menuntut hak mereka.
Baru-baru ini Sabah News Today melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memandang serius isu 14 Pengawal Keselamatan Hospital Beaufort yang tidak menerima penyelarasan gaji maksimum.
Pengarahnya, Dr Asits Sanna berkata pihaknya akan memantau dengan teliti berkenaan perkara ini.
Katanya pada masa kini, kawalan keselamatan perlindungan di Hospital Beaufort adalah tidak terjejas dengan jumlah pengawal keselamatan yang mencukupi dan perkhidmatan rawatan masih berjalan seperti biasa.
“Jabatan ini berharap agar kemelut antara kedua belah pihak ini dapat diselesaikan dengan segera dan adil,” katanya.