Kenaikan harga beras import: Pihak penguatkuasa perlu pantau bekalan beras di premis perniagaan – Suhaimi

SANDAKAN: Pihak penguatkuasa khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu memantau secara berterusan bekalan beras di premis negeri ini berikutan kenaikan harga beras import.

Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata ini bagi memastikan bekalan beras di negeri ini mencukupi dan tidak menyebabkan kebimbangan kalangan rakyat yang boleh menyebabkan pembelian panik.

Katanya beliau ada menerima maklum balas daripada rakyat adanya premis yang tiada bekalan beras dan ada premis yang terpaksa menjual beras dengan had tertentu untuk setiap pembelian.

“Pemantauan berterusan perlu dilakukan oleh pihak penguatkuasa bagi memastikan bekalan beras di negeri ini khususnya di daerah ini sentiasa ada dan kenaikan harga beras import tidak menjejaskan keperluan semasa,” katanya di sini,hari ini.

Pada 1 September lepas, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import dengan harga jualan beras putih import kini ditetapkan kepada RM3,200 per tan metrik berbanding harga sebelum ini RM2,350 per tan metrik.

Pengguna di Sabah merasai kenaikan harga beras import ini dengan kebanyakan bekalan beras dijual di premis adalah beras import disebabkan kurangnya beras tempatan.

Ketika ini, Tahap Sara Diri (SSL) beras Sabah berada pada paras 22 peratus manakala 78 peratus keperluan beras di negeri ini ditampung melalui beras import dari negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Pakistan.a

Ada syarikat tempatan telah mengumumkan kenaikan harga beras import 5 kilogram dari RM14.25 kepada RM18.75 dan 10 kilogram RM27.50 kepada RM36.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata pemantauan oleh pihak berkuasa terhadap pembekal beras ini juga perlu bagi memastikan tidak ada antara mereka memanipulasi harga dengan menukar kampit beras tempatan kepada beras import.

Dalam pada itu, beliau berkata dengan kurangnya beras tempatan di negeri ini sudah tentu pengguna banyak bergantung kepada bekalan beras import dan terkesan dengan kenaikan harga beras import.

Pada masa sama, beliau berharap pembekal beras tempatan dapat meningkatkan pengeluaran hasil mereka dipasaran bagi meringankan beban pengguna di negeri ini.