KOTA KINABALU: Isu kenaikan harga beras import dilihat menjadi topik utama pengguna sekali gus menjadi beban besar dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah di negeri ini.
Pengerusi Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah Datuk Awang Aslee Lakat berkata, kerajaan perlu melihat beras menjadi keperluan rakyat negara ini sepatutnya tidak akan mengalami peningkatan, malah bekalan perlu ditambah sekiranya berlaku kekurangan dalam pasaran.
Katanya, apabila harga beras mengalami kenaikan sudah tentu rakyat akan terbeban sekali gus menyebabkan pengguna berhadapan risiko harga tinggi terutama dalam kalangan peniaga sektor makanan.
“Apa yang penting ketika ini pihak penguatkuasa khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu perlu memantau secara berterusan bekalan beras di premis negeri ini berikutan kenaikan harga beras import.
“Hampir setiap hari kita menerima aduan serta laporan berhubung isu kenaikan harga beras yang sedang hangat diperkatakan oleh semua pihak terutama di negeri ini,” katanya di sini hari ini.
Awang Aslee merupakan Ketua Bahagian UMNO Beaufort berkata, pengguna di Sabah tidak mempunyai pilihan lain serta terpaksa membeli dengan harga yang tinggi berikutan beras merupakan makanan utama rakyat.
“Masalah ini dilihat sangat membebankan semua lapisan rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah serta rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman di Sabah.
“Tinjauan mendapati terdapat beberapa syarikat tempatan telah mengumumkan kenaikan harga beras import 5 kilogram dari RM14.25 kepada RM18.75 dan 10 kilogram RM27.50 kepada RM36.00,” katanya.
Awang Aslee berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji dahulu keperluan kenaikkan harga beras ini sebelum membuat pengumuman.
Pada 1 September lepas, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import dengan harga jualan beras putih import kini ditetapkan kepada RM3,200 per tan metrik berbanding harga sebelum ini RM2,350 per tan metrik.
Pengguna di Sabah merasai kenaikan harga beras import ini dengan kebanyakan bekalan beras dijual di premis adalah beras import disebabkan kurangnya beras tempatan.
Ketika ini, Tahap Sara Diri (SSL) beras Sabah berada pada paras 22 peratus manakala 78 peratus keperluan beras di negeri ini ditampung melalui beras import dari negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Pakistan.
-ends