LAHAD DATU: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) selepas melawat Menara Kayangan dan Kuarters kakitangan ESSCOM di Palm Beach, Lahad Datu Sabah, semalam.
Seri Paduka Baginda yang tiba pada jam 4.20 petang bersempena Program Kembara Kenali Borneo disambut oleh Komander ESSCOM DCP Victor Sanjos serta Ketua Eksekutif ESSCOM Dr. Jamaluddin Mohd Ali yang kemudiannya merakamkan gambar kenangan bersama kepimpinan tertinggi ESSCOM di hadapan bangunan tersebut.
Pada sesi lawatan itu, Yang di-Pertuan Agong turut menerima taklimat pengoperasian daripada Victor di ESSCOM Fusion Center selain beramah mesra bersama barisan kepimpinan dan kakitangan organisasi terbabit.
Al-Sultan Abdullah juga berkenan melawat ke Pengkalan Polis Marin (PPM) Lahad Datu yang terletak kira-kira 500 meter dari bangunan ESSCOM bagi menyaksikan demonstrasi payung terjun daripada Unit Payung Terjun Polis Diraja Malaysia.
Terjunan enam anggota daripada gabungan Pasukan Khas VAT 69 Komando dan Unit Tindakan Khas (UTK) pada ketinggian 5,000 kaki dari aras laut turut membawa cenderamata khas Program Kembara Kenali Borneo untuk dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda di Padang PPM.
Mengakhiri acara di PPM, Seri Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan pertunjukan laut merupakan formasi memintas musuh dan demonstrasi aset bot serta kapal Polis DiRaja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim di Jeti PPM.
Turut mengiringi Al-Sultan Abdullah adalah anakanda baginda, Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera serta Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi.