KINABATANGAN : Ketua Penerangan Parti Warisan Kinabatangan, Amrah Liwangsa tampil membuat laporan polis berhubung tuduhan jenayah yang dilemparkan terhadap parti itu.
Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Kinabatangan lebih kurang pukul 2.15 petang semalam bagi menafikan tuduhan itu.
Dalam laporan polis itu, beliau menmberitahu telah melihat dan terbaca artikel dimuatnaik oleh penama Basug Ka Ya… di laman Facebook Forum Politik Sabah yang menyatakan Parti Warisan telah terlibat dan menerima dana daripada kartel dadah terbesar di Sabah yang ditangkap oleh PDRM, baru-baru ini.
Katanya, kenyataan dalam artikel itu adalah satu fitnah politik semata-mata dan beliau menafikan tuduhan tersebut.
Jelasnya, Parti Warisan tidak terlibat dan tidak menerima apa-apa sumber daripada perlakuan jenayah dan penjenayah.
Menurut Amrah, tuduhan berniat jahat dan fitnah politik itu hanya untuk mencemarkan Parti Warisan dan pihaknya sekali lagi menafikan dakwaan tersebut.
Sehubungan itu, beliau meminta agar pihak PDRM menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam membuat tuduhan palsu dan fitnah politik kepada Parti Warisan.
Beliau juga memberikan penghargaan kepada PDRM di atas kejayaan menumpaskan kegiatan kartel dadah dan memohon agar usaha seumpama diteruskan agar kegiatan jenayah dadah di negeri ini dapat dihapuskan.